30 OKT : Kontrak perkhidmatan MY EG Services Bhd (MyEG) dan subsidiari milik penuhnya, MY EG Sdn Bhd (MYEGSB) dilanjutkan tiga tahun lagi.
Lanjutan kontrak oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu bermula 23 Mei lalu sehingga 22 Mei 2026.
MyEG berkata, kedua-dua syarikat itu masing-masing menerima surat pelantikan daripada JPJ hari ini sebagai pengesahan.
“Surat itu mengesahkan dua syarikat itu sebagai ejen pemungut bagi penyediaan perkhidmatan pendaftaran kenderaan, pelesenan pemandu dan kenderaan serta pembayaran elektronik perkhidmatan saman untuk tempoh tiga tahun.
“Anggaran nilai lanjutan itu akan bergantung pada bilangan transaksi yang dilakukan sepanjang tempoh tersebut. Perjanjian untuk merasmikan lanjutan itu akan ditandatangani dan diumumkan oleh syarikat pada masa akan datang,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kata MyEG, lanjutan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham syarikat untuk tahun kewangan 2023 dan seterusnya.