30 OKT : Mesyuarat Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) memutuskan agar Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan secara berkala dalam mesyuarat jemaah menteri.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata ia bagi membolehkan setiap isu yang dilaporkan dalam dokumen itu diambil tindakan dengan lebih berkesan.
Ramkarpal berkata, keputusan yang diputuskan pada 6 Julai lalu turut mengubah format LKAN yang lebih baharu, berstruktur dan terperinci.
“Sebagai langkah ke hadapan, JKMMAR pada 6 Julai 2023 memutuskan supaya laporan ketua audit dibentangkan secara berkala kepada jemaah menteri.
“Ia akan dibentang secara laporan berformat baharu yang lebih berstruktur dan teperinci supaya setiap isu yang dilaporkan dapat diambil tindakan dengan lebih berkesan oleh setiap menteri ataupun agensi,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Kah Who (PH-Taiping) berkenaan tindakan yang sudah diambil kerajaan dalam menangani isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021 berkenaan dengan ketirisan yang meliputi kehilangan wang awam serta pembaziran yang serius di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Ramkarpal memaklumkan sebanyak 7 LKAN sudah dibentangkan melibatkan pengauditan di peringkat Persekutuan dan negeri sepanjang 2020 dan 2021.
Jelas beliau, isu-isu ini melibatkan ketirisan yang meliputi kehilangan wang awam serta pembaziran yang serius itu antaranya sudah pun diambil tindakan dan sedang dalam siastan lanjut oleh agensi penguat kuasa berkenaan.
“Sebanyak 24 isu jabatan di peringkat Persekutuan yang sudah diaudit dalam 7 laporan LKAN tersebut yang dikategorikan sebagai isu punitif.
“Isu-isu yang dibangkitkan melibatkan kelemahan pengurusan kontrak, pengurusan perolehan, pengurusan program projek dan kelemahan pengurusan wang zakat dan ketidakpatuhan tehadap peraturan
“Sehingga 30 Oktober 2023, 12 isu selesai disiasat melibatkan dua isu siasatan oleh suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan 10 isu melibatkan siasatan oleh Jawatankuasa Khas Siasatan dan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan siasatan yang dilaksanakan, seorang penjawat awam dituduh di mahkamah pada 16 April 2023 di bawah Sekyen 231 Akta Suruhajaya Pencegah Rasuah 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 manakala 25 orang penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib.
“12 isu lagi masih dalam siasatan melibatkan siasatan lima isu oleh SPRM, enam isu oleh PDRM dan 1 isu oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL