30 OKT : Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman hari ini mengumumkan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wakil rakyat Labuan itu berkata keputusan tersebut dibuat bagi menitikberatkan keperluan mendesak rakyat Labuan yang berhadapan krisis kenaikan kos sara hidup dan masalah bekalan air dan elektrik di kawasan itu.
“Maka mengambil kira ke atas semua permasalahan rakyat Labuan yang saya nyatakan di atas, saya sebagai Ahli Parlimen Labuan dengan ini mengisytiharkan untuk memberi sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10 bermula daripada tarikh kenyataan media ini dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah yang banyak membantu rakyat Labuan.
Katanya, Hajiji memberi peluang pekerjaan dan peluang perniagaan secara kecil-kecilan kepada penduduk Labuan melalui anak syarikat GLC Sabah sejak beliau mula mengambil pucuk kepimpinan di Sabah.
Suhaili merupakan MP pembangkang dan MP Bersatu kedua yang mengumumkan untuk menyokong kepimpinan Anwar.
Sebelum ini, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) pada 12 Oktober turut mengumumkan keputusan untuk menyokong Perdana Menteri.
Iskandar berkata keputusan tersebut dilakukan selepas mengambil kira rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak bagi menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.