Singapura setuju bantu luaskan Sungai Johor
30 OKT : Singapura bersetuju untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor menyelenggara projek memperluas dan meningkatkan keupayaan pengeluaran air Sungai Johor.
Sehubungan itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kajian perlu disegerakan bagi menilai keupayaan sungai itu.
Katanya, Malaysia amat mengalu-alukan kesediaan Singapura untuk membantu Johor dengan kerja-kerja melebar dan meningkatkan pengeluaran air.
“Isu air itu memerlukan kesediaan Johor untuk melebar dan memperbaiki keupayaan pengeluaran air yang akan memberi manfaat pertamanya kepada rakyat Johor, memenuhi keperluan (rakyat) Johor dan juga kepada Singapura yang memang kita terikat dengan perjanjian lama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama antara Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, hari ini.
Menurut Anwar, penyelenggaraan Sungai Johor itu memerlukan sedikit sokongan suntikan kewangan daripada Singapura.
Katanya, penangguhan kerja itu tidak menguntungkan negara bahkan harga air tersebut akan terus kekal pada kadar lama.
“Mempercepatkan itu maknanya ada keupayaan meningkatkan sedikit kos harga air dan kesediaan Singpura bersama menyelenggarakan projek di Sungai Johor yang akan memerlukan juga sedikit suntikan kewangan daripada Singapura.
“Jadi bagi saya hal ini telah kita capai malah kita bersetuju. Singapura dan Johor boleh menyegerakan kaji selidik untuk melihat keupayaan membesarkan sungai dan pengeluaran air di negeri tersebut. Tetapi ini kita akan bincangkan dengan kerajaan negeri Johor,” katanya.
Pada masa ini, Singapura membeli air mentah dari Johor pada harga 3 sen setiap 1,000 gelen.
Pada masa sama, negara tersebut juga menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim