31 OKT : Solidariti dipamer penjawat awam terhadap kesengsaraan rakyat Palestin tidak patut dikecam atau dipolitikkan.
Presiden Kongres Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata tiada sebarang sekatan ke atas penjawat awam menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin termasuk institusi pendidikan.
“Kita sedia maklum ada ahli politik yang tidak selesa atau mengeluarkan kenyataan agar tindakan diambil ke atas penjawat awam khususnya guru yang menjalankan minggu solidariti di sekolah.
“Justeru, ingin dinyatakan kami penjawat awam bersama-sama dengan dasar kerajaan (menyokong Palestin) dan tiada masalah apabila menjalankan minggu solidariti di sekolah.
“Justeru jangan lihat laungan, pakaian atau persembahan itu sebagai ancaman kepada negara sebaliknya tanda bagaimana rakyat Malaysia bersolidariti dengan Palestin yang ketika ini diancam kepupusan etnik oleh rejim Israel,” katanya selepas merasmikan program Jualan Agro Madani @Cuepacs di Dataran MBMB Ayer Keroh di Melaka hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penganjuran Minggu Solidariti Palestin oleh Kementerian Pendidikan (KPM) yang dibantah beberapa wakil rakyat.
Mereka membantah atas alasan sekolah perlu kekal menjadi ruang neutral untuk pembelajaran dan pemahaman serta menggesa KPM mengkaji semula penganjuran tersebut di sekolah serta institusi pendidikan awam.
Menurut Adnan, pihaknya tidak mahu ahlinya menjadi mangsa yang diambil tindakan kerana garis panduan untuk menjalankan aktiviti itu sudah dimaklumkan kepada kementerian berkaitan lebih awal.
“Jadi tiada isu pelanggaran (peraturan) atau buat tindakan perhimpunan luar kawalan sebaliknya ia adalah dalam bentuk perarakan yang dibenarkan,” katanya.
Mengulas penggunaan media sosial sebagai medium menzahirkan solidariti kepada Palestin, beliau berkata platform itu juga tidak perlu dilihat sebagai ancaman atau kumpulan yang melakukan provokasi terhadap pihak lain.
“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang aduan atau tindakan yang diambil namun kita lihat ada media sosial ahli politik yang membuat kecaman terhadap penjawat awam,” katanya.