31 OKT : Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Save the Children mendedahkan setiap 10 minit di Gaza, seorang kanak-kanak terbunuh.
Jurucakap cawangan Palestin, Jason Lee berkata dalam situasi perang itu juga, dalam kalangan orang awam cedera, satu daripada tiga mangsa merupakan kanak-kanak.
Selain itu, peningkatan kes penyakit berjangkit juga berlaku disebabkan jumlah mangsa perang meningkat setiap hari selain kekurangan amalan kebersihan.
Lee turut melahirkan kebimbangan penyebaran wabak influenza.
Sementara itu, Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata jumlah konvoi bantuan yang memasuki Gaza tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan kemanusiaan di wilayah itu.
“Segelintir konvoi yang dibenarkan melalui Rafah tidak mencukupi, berbanding dengan keperluan lebih dua juta orang yang terperangkap di Gaza,” katanya kepada Majlis Keselamatan PBB.
Setakat ini Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan serangan rejim zionis ke atas wilayah itu mengorbankan lebih 8,000 nyawa yang kebanyakannya orang awam.
Menurut jurucakap PBB, Stephane Dujarric, 33 trak sudah memasuki Gaza melalui Rafah kelmarin membawa air, makanan dan bekalan perubatan.
Dalam pada itu, ketika terus didesak oleh negara-negara luar, Israel tetap angkuh tidak akan sama sekali melakukan gencatan senjata.
Pada Sabtu, Sidang Khas Tergempar ke-10 itu meluluskan resolusi ditaja Jordan dengan 120 undi menyokong, 14 menentang, dan 45 tidak mengundi.
Resolusi ini antara lain menyeru kepada gencatan senjata kemanusiaan dengan segera, berkekalan, dan berterusan serta menuntut semua pihak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan untuk menyediakan bekalan dan perkhidmatan penting ke Semenanjung Gaza yang berterusan, mencukupi dan tanpa halangan.