31 OKT : Emiriyah Arab Bersatu (UAE) merupakan pelabur terbesar di Malaysi dari Asia Barat sekaligus menjadi salah satu negara yang terpenting dalam pelaburan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat ini, jumlah pelaburan UAE di Malaysia sudah mencecah RM1.4 bilion.
Katanya, syarikat minyak dan gas terbesar di dunia, Saudi Aramco (Aramco) juga bersetuju untuk menambah pelaburan mereka di Pengerang dalam masa terdekat.
“UAE ketika ini adalah pelabur terbesar di Malaysia dari Asia Barat dan pelaburan UAE yang dilaksanakan sehingga kini sudah mencecah RM1.4 bilion.
“Arab Saudi melalui Aramco sudah bersetuju untuk menambah pelaburan mereka di Pengerang dan memutuskan supaya Mesyuarat Lembaga Arab Saudi diadakan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berkenaan jumlah pelaburan dan sektor industri yang akan dilaksanakan oleh pelabur-pelabur dari Amerika Syarikat, United Arab Emirates (UAE) dan Arab Saudi pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar (PH-Tambun) berkata Aramco dijangka akan datang ke Malaysia pada minggu hadapan, iaitu dua minggu selepas Perdana Menteri itu mengadakan lawatan ke Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada 20 Oktober lalu.
“Aramco bercadang untuk datang ke sini bermula dari dua minggu tempoh saya melawat Arab Sudi, maknanya dalam minggu depan mereka akan datang untuk bermesyuarat dengan Petronas,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan pelaburan dari UAE bukan hanya memorandum persefahaman (MoU) seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.
Tegas beliau, tindakan susulan sudahpun bermula sebagaimana projek yang sedang dijalankan bersama syarikat Geely di Tanjung Malim.
“Saya ingin jelaskan ini bukan MoU seperti yang dibimbangkan beberapa ahli Yang Berhormat kerana tindakan susulan sudah bermula sama seperti projek Geely di Tanjung Malim.
“Mereka datang untuk melaksanakan, bukan MoU lagi. MoU telah pun ditandatangani awal dan perlaksanaannya sudah pun dijalankan ketika mereka hadir di Tanjung Malim baru-baru ini. Saya bersama Menteri Besar Perak dan Kementerian Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) berada di Tanjung Malim pada ketika itu,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata terdapat perbezaan antara MoU, persefahaman yang sudah ditandatangani serta tindakan yang sudah diambil menerusi projek yang diluluskan.
Jelas beliau, terdapat beberapa projek yang diumumkan akan berubah jumlah angka dari semasa ke semasa kerana belum mendapat kelulusan.
“Pengunguman pelaburan, ia ada perbezaan antara MoU yang ditandatangani dengan projek yang diluluskan serta ada tindakan yang diambil.
“Jadi, kadangkala ada angka yang kita sebut itu merupakan MoU. Namun saya bersetuju MoU itu tidak semestinya dilaksanakan
“Namun ada juga projek-projek yang diumumkan belum mendapat kelulusan, jadi angka-angka itu akan berubah mengikut kelulusan,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL