1 NOV : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menambah bilangan guru kaunseling sekiranya berlaku peningkatan kes buli.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata bimbingan itu penting kepada mangsa dan pembuli.
“Memang (KPM) akan pastikan (guru kaunseling) akan ditambah sekiranya kes buli meningkat. Ini kerana mereka (yang terlibat dengan kes buli) perlu diberikan bimbingan sewajarnya.
“Aspek kaunseling ini sangat mustahak untuk kita tahu kenapa mereka (pembuli) ini terlibat dengan buli dan bimbingan kepada mereka yang menjadi mangsa juga,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) yang membangkitkan sama ada KPM bercadang untuk menambah guru kaunseling di sekolah bagi menangani kes buli di institusi itu.
Dalam pada itu, Hui Ying memaklumkan setakat Januari hingga Oktober tahun ini sebanyak 4,994 kes buli direkodkan.
Katanya, jumlah itu meningkat berbanding 3,887 kes yang dicatatkan pada tahun lalu manakala sebanyak 326 kes direkodkan pada tahun 2021.
“Semua kes ini telah disiasat dan tindakan susulan juga telah diambil terutamanya melibatkan bimbingan dan kaunseling.
“Usaha untuk menangani kes buli ini bukan hanya melibatkan pihak sekolah tetapi juga memerlukan kerjasama ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti,” katanya.