1 NOV : Kerajaan tidak bercadang untuk menambat ringgit dan mengawal pertukaran mata wang asing seperti dilakukan ketika negara menghadapi Krisis Kewangan Asia pada 1998.
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu bukan penyelesaian tepat bagi cabaran yang dihadapi pada masa ini.
“Kerajaan mengambil kira faktor utama, pertama, ekonomi dan sistem kewangan negara berada pada kedudukan lebih baik masa kini untuk menghadapi turun naik pasaran kewangan global dan pergerakan kadar pertukaran.
“Keduanya, Malaysia akan hilang kebebasan dasar monetari dan perlu mengikut kadar faedah mata wang yang menambat ringgit.
“Contohnya, jika ringgit ditambat dengan dolar Amerika Syarikat (AS), kita perlu menaikkan kadar faedah selari dengan kadar faedah di negara kuasa besar itu. Tindakan ini akan memberi tekanan kepada kos pembiayaan yang lebih tinggi kepada rakyat.
“Ketiga, bagi mengekalkan tambatan, kita akan memerlukan rizab antarabangsa yang besar. Jika tidak, kita terpaksa memperkenalkan kembali langkah kawalan modal untuk mencegah dan mengatasi tekanan spekulatif terhadap ringgit,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) sama ada kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) bercadang untuk menambat nilai ringgit pada satu-satu nilai seperti dilakukan pada 1999.
Menurut Steven, sekiranya ringgit ditambat ketika ini ia akan memberi kesan negatif terhadap keyakinan pelabur yang juga boleh menjejaskan aliran modal kerana Malaysia kini mempunyai pasaran modal jauh lebih besar berbanding 1998.
Justeru, katanya, BNM akan memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur sejajar dengan tanggungjawabnya terhadap kestabilan pasaran kewangan dan mata wang.
“Bank pusat akan memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur. Bagi menangani risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS.