1 NOV : Kumpulan kongsi gelap di Johor dikesan merekrut pelajar sekolah menengah untuk melakukan aktiviti jenayah.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata terdapat dua kejadian pelajar dipukul dan direkrut untuk masuk kumpulan dikenali Geng Hong Hong San dan Ngo Sek Kee.
“Kita lihat ada beberapa kongsi gelap aktif melakukan perbuatan ini dan dalam pemantauan kita.
“Semua pelajar yang direkrut ini akan diajar menjadi pengedar dadah, ‘fighter’, ‘general’ dan ‘tiger general‘ ikut hierarki kumpulan kongsi gelap terbabit. Sasaran kumpulan kongsi gelap ini pelajar di kawasan bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Merujuk kes tersebut, Kamarul Zaman berkata enam lelaki sudah dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 45 Akta Pertubuhan 1966 di Mahkamah Majistret Muar, 17 Oktober lalu dengan dua daripadanya mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda RM3,000.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat agar peka dengan perkara itu dan salurkan maklumat kepada polis supaya tindakan dapat diambil.
Selain itu, guru-guru dinasihatkan supaya melaporkan kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) berhubung kegiatan kongsi gelap itu.
*Foto : Polis Johor