2 NOV: Kerajaan menjangkakan menanggung subsidi diesel secara purata melebihi RM1 bilion sebulan atau bersamaan RM14 bilion untuk tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbelanjaan itu diunjur berdasarkan senario semasa.
“Selanjutnya, jumlah keseluruhan subsidi yang telah ditanggung oleh kerajaan ke atas produk diesel bagi 2018 sehingga 2022 adalah melebihi RM35 bilion.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.9 bilion dibelanjakan untuk super subsidi diesel sektor perikanan dan hampir RM1 bilion bagi pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pertanyaan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah subsidi diesel yang dibelanjakan setiap tahun bermula 2018 sehingga kini menerusi jawapan bertulis yang diterbitkan di laman web Parlimen.
Ia sama ada membabitkan sektor perikanan, kenderaan perdagangan dan persendirian termasuk mahu kerajaan memberi pencerahan, apakah impak kepada kedudukan kewangan negara sekiranya subsidi diesel diteruskan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan tidak memperuntukkan subsid bagi sektor kenderaan barangan memandangkan harga belian diesel adalah sama dengan harga runcit diesel di stesen minyak.
Dalam pada itu, beliau berkata tujuan pemberian subsidi itu adalah bagi mengelakkan pengguna terkesan dengan kenaikan harga pasaran sebenar produk petroleum di peringkat global.
“Ketika ini, harga jualan runcit diesel ditetapkan pada kadar RM2.15 seliter ketimbang harga pasaran iaitu RM3.75 seliter,” katanya.