2 Nov : Kerajaan menegaskan penghantaran pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 ke Lubnan bukan untuk terlibat dalam konflik antara Palestin dan Israel.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata penghantaran pasukan tersebut bagi menggantikan pasukan Malbatt 850 siri ke 10 yang berada di Lubnan sejak tahun lepas.
Jelas beliau, Malbatt 850-11 akan ditempatkan di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin serta merupakan sebahagian daripada misi United Nations Interim Force in Lebanon.
“Malbatt 850-11 akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.
“Kerajaan masih lagi mengekalkan keputusan supaya pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam UNIFIL di Lubnan mesti dikekalkan selagi belum ada perubahan dalam keputusan PBB.
“Maka Malaysia akan turut serta hantar dan ini merupakan pasukan pengganti (kepada Malbatt 850-10). Jangan kata kita hantar ke Palestin pula, sekarang ni macam-macam pandangan ada.
“Ini kita ganti pasukan sedia ada di Lubnan. Jadi kebetulannya pasukan kita yang ada setahun di sana memang nak balik, dijadualkan untuk balik. Jadi kita buat dan terus hantar pengganti sehingga PBB atau UNIFIL membuat keputusan yang berlainan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-11 ke Lubnan, di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Malbatt 850-11 berkekuatan seramai 854 anggota terdiri dari 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang pegawai awam kewangan dari Kementerian Pertahanan.
Dalam pada itu, Mohamad menasihati pasukan negara supaya berhati-hati memandangkan kawasan mereka ditugaskan hanya 20 kilometer dari sempadan pergolakan antara Israel dan Palestin.
Katanya, pasukan negara diminta bersedia dengan apa kemungkinan yang bakal berlaku termasuklah sekiranya menerima arahan daripada PBB bagi menjadi tentera pengaman di Palestin.
“Nasihat saya, kita punya anggota kena berhati-hati, walaupun sempadan kawasan pergolakan agak jauh namun tidaklah jauh sangat hanya 20 kilometer saja bezanya tetapi apa saja boleh berlaku.
“Kita tetap di bawah PBB. Apa jua arahan, apa jua tindakan dan apa jua keputusan PBB itu yang akan kita ikut,” katanya.