3 NOV : Rakyat Palestin yang terkorban dalam pencerobohan rejim Tel Aviv di Semenanjung Gaza mencecah 9,061 orang.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata mangsa yang terkorban itu termasuk wanita dan kanak-kanak, lapor Agensi Anadolu.
“Mangsa termasuk 3,760 kanak-kanak, 2,326 wanita manakala 32,000 yang lain cedera.
“Serangan Israel menyebabkan 135 pegawai perubatan maut dan 25 ambulans musnah,” kata jurucakap kementerian itu, Ashraf al-Qudra.
Dalam pada itu, Ashraf memberitahu seramai 2,060 penduduk masih terperangkap di bawah runtuhan di Gaza yang dibedil Israel.
Beliau berkata, tentera Israel menyasarkan lebih 100 kemudahan penjagaan kesihatan di Gaza sejak 7 Oktober lalu.
“Sebanyak 16 hospital dan 32 pusat penjagaan utama tidak dapat beroperasi ekoran serangan Israel selain mengalami kekurangan bahan api,” katanya.
Beliau memberi amaran tentang ‘malapetaka kesihatan’ di tengah-tengah kekurangan bahan api yang memaksa generator utama di Hospital Indonesia di utara Gaza berhenti beroperasi manakala generator utama di Hospital al-Shifa di Bandar Gaza hampir berhenti beroperasi.
Selain jumlah korban yang besar dan bilangan besar penduduk kehilangan tempat tinggal, bekalan asas untuk 2.3 juta penduduk di Gaza semakin berkurangan akibat pengepungan Israel.
Sementara itu, Perancis menghantar kapal ke Semenanjung Gaza gang diubah menjadi kapal hospital.
Menteri Pertahanannya, Sebastien Lecornu berkata ia bagi memberi pendedahan kepada semua pihak bahawa kita tidak boleh membiarkan orang awam terdedah kepada bahaya.
“Ideanya adalah untuk memberitahu semua pihak dalam konflik ini bahawa kita tidak boleh membiarkan orang awam terdedah kepada bahaya terutamanya tanpa penyelesaian penjagaan kesihatan pada peringkat kemanusiaan,” katanya.