3 NOV : Pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik akan menyumbangkan sepenuhnya wang kemenangan kes saman fitnah sebanyak RM1.52 juta kepada Palestin.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy membayar pampasan tersebut kepada pendakwah dari India itu dalam tempoh 30 hari kerana memfitnah, empat tahun lalu.
Menerusi hantaran di Facebook, Dr Zakir turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Mahkamah Tinggi atas keputusan tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mahkamah Tinggi Malaysia kerana mengarahkan Ramasamy membayar RM1.52 juta sebagai ganti rugi fitnah.
“Saya ingin menderma jumlah penuh iaitu RM1.52 juta kepada Palestin. Saya berdoa agar Allah SWT menerima usaha kecil ini,” katanya.
Ramasamy selaku defendan perlu membayar ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi teladan RM250,000, ganti rugi teruk RM100,000, pampasan RM100,000 dengan kos sebanyak RM70,000.
Dr Zakir dalam hantaran sama berkata, rakyat Palestin ketika ini sedang melaksanakan tuntutan fardu kifayah untuk melindungi tempat suci ketiga umat Islam, Masjid Al-Aqsa.
“Saya berdoa agar Allah SWT mengurniakan ketabahan dan kemenangan kepada perjuangan Palestin.
“Semoga Allah SWT meringankan penderitaan saudara kita di Palestin, menguatkan mereka dalam melawan pihak yang menindas dan memasukkan syuhada mereka ke darjat tertinggi di syurga-Nya, amin,” katanya.
Sementara itu, Ramasamy melancarkan kempen pendanaan awam bagi membayar saman tersebut.