3 NOV : Seorang pemandu lokomotif dan pembantunya cedera selepas keretapi yang dikendalikan berlanggar dengan sebuah lori muatan sawit di KM167.80 Jerantut-Kuala Krau berhampiran Kampung Pisang di Jerantut, semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Azman Mat Kamis berkata 10 penumpang kereta api itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara pemandu lokomotif berusia 35 tahun itu mengalami luka pada bahagian kaki manakala pembantunya berusia 26 tahun cedera pada paha kanan dalam kejadian kira-kira jam 5.25 petang.
Menurutnya, kemalangan itu berlaku semasa kereta api tersebut dalam perjalanan dari Jerantut menuju ke Gemas, Negeri Sembilan.
Difahamkan, sebuah lori secara tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan landasan semasa kereta api itu melalui lokasi berkenaan yang menyebabkan kedua-dua kenderaan itu berlanggar.
“Akibat pelanggaran itu cermin depan kereta api pecah manakala lori berkenaan remuk teruk,” katanya, lapor Bernama.
Pemandu lori berkenaan dipercayai melarikan diri.
Kes sedang disiasat oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengikut Akta Keretapi 1991.