3 NOV : Permohonan baharu Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan dibuka sepanjang tahun bermula bulan ini berbanding sekali setahun sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu bagi menambah baik cara memohon STR.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata STR Fasa 4, yang terakhir bagi tahun ini akan disalurkan kepada penerima pada 7 November ini.
“Seramai 5.2 juta penerima akan mendapat STR antara RM100 hingga RM1,200 manakala permohonan rayuan yang diluluskan menerima antara RM100 hingga RM2,500 secara sekali gus.
“Nilai keseluruhan STR Fasa 4 bernilai RM2.1 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Peruntukan STR ditingkatkan daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion bagi membolehkan kadar maksimum STR ditingkatkan daripada RM3,100 kepada RM3,700 pada tahun depan.
Dalam pada itu, Anwar berkata berkata bagi Sumbangan Asas Rahmah (SARA), ia akan diperluas daripada isi rumah miskin tegar kepada merangkumi golongan miskin.
Oleh itu, beliau berkata kadar SARA ditingkatkan daripada RM600 kepada RM1,200 dengan bilangan penerima manfaat meningkat daripada 200,000 penerima kepada sekitar 700,000 penerima.
“Mekanisme SARA akan digunakan sebagai pendekatan baharu pemberian semula subsidi secara bersasar.
“Dengan pemberian SARA secara bulanan, ini dapat memastikan golongan miskin mendapat bekalan barangan makanan asas yang mencukupi,” katanya.