4 NOV : Keupayaan seseorang itu dinilai dari segi kepimpinan dalam menbentuk keluarga yang harmoni.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana masyarakat Malaysia telah dilatih dari institusi keluarga untuk berkasih sayang dan bersifat rahmah.
Malah jelasnya, seorang yang tidak berjaya membentuk keluarga akan dilihat tidak mampu menjadi pemimpin yang baik.
“Kadang-kadang orang nilai keupayaan ketua masyarakat, baik penghulu atau ketua kampung apa lagi menteri dinilai juga dari sudut keupayaan mengawal, mendidik, mengasuh, mengasihi keluarga sebagai contoh.
“Kalau keluarganya porak peranda, sukar nak dibentuk masyarakat, kalau keluarganya porak peranda sukar diatur negara kerana orang ini keupayaan menjadi contoh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Jelas beliau lagi, sesebuah negara akan menjadi hebat sekiranya nilai-nilai murni dipupuk bermula dari institusi keluarga.
Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2023 dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Tema Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan Tahun 2023 iaitu “Keluarga Harmoni, Negara MADANI”.