4 NOV : Kerajaan sedang mengkaji beberapa tindakan susulan keputusan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang meluluskan rang undang-undang (RUU) berhubung sekatan terhadap pihak luar yang menyokong pergerakan Jihad Islam Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ketika ini pihaknya sedang mengkaji keseluruhan kandungan RUU berkenaan kerana pastinya Malaysia dan beberapa negeri terbabit terkesan dengan keputusan tersebut.
“Sepatutnya bukan hanya Malaysia, malah seluruh dunia termasuk AS sendiri perlu mencari jalan bagi menyelesaikan masalah serangan Israel terhadap rakyat Palestin itu dengan segera.
“Apa pun, Malaysia akan bersama-sama dengan negara lain untuk melihat isu ini kerana semua negara dikatakan menyokong Hamas dan tidak seiring dengan AS,” katanya pada Program Diplomasi Awam sempena Hari Wisma Putra di Putrajaya.
Rabu lalu, Dewan Perwakilan AS meluluskan RUU yang akan membenarkan sekatan asing dikenakan terhadap penyokong Hamas dan pertubuhan Jihad Islam.
RUU bertajuk Akta Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas itu diluluskan majoriti 363 berbanding 46 yang menentang.
Dalam pada itu, Zambry berkata, kerajaan akan terus mengamalkan dasar diplomasi aktif bagi membawa suara Malaysia di pentas dunia berhubung isu kemanusiaan di Palestin.
Menurutnya, meskipun dianggap sebagai sebuah negara kecil, peranan Malaysia dalam memperjuangkan hak-hak kemanusiaan sentiasa diberi keutamaan.
“Malaysia akan menggunakan semua pengaruh yang ada.. walaupun dianggap sebagai sebuah negara kecil namun dalam konteks peranan dan pengaruh Malaysia dalam kalangan negara-negara ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kumpulan Negara Membangun (G77) dan Global South, Malaysia sentiasa diberi keutamaan.
“Suara Malaysia seringkali diminta di pentas dunia, jadi dalam usaha ini kita akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani isu ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zambry memaklumkan, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin dunia termasuk India dan Qatar minggu depan.