5 NOV : Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak mengesahkan sokongan padu rakyat terhadap gabungan itu.
Malah, Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peratusan undi yang bertambah sehingga 88.3 peratus itu turut mengukuhkan lagi perkara itu meskipun meletakkan calon baharu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini iaitu Iskandar Turkee.
“Sudah tentu ini satu petanda bahawa masyarakat kita khasnya di Jepak dan Bintulu menerima dasar-dasar yang telah kita rancang dan akan laksanakan,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRK itu, malam tadi.
Pada PRK itu, Iskandar memperoleh 9,638 undi menewaskan dua pencabar, Stevenson Joseph Sumbang daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang hanya meraih 854 undi dan Chieng Lea Phing dengan 431 undi.
Abang Johari berkata, pengundi muda yang buat kali pertamanya mengundi di peringkat DUN di Sarawak turut menyumbang kepada kemenangan besar GPS kali ini.
“Kita menang di semua saluran mengundi, termasuk saluran yang terdapatnya pengundi muda di kawasan pinggir bandar, bandar dan juga luar bandar,” katanya.
Mengenai peratusan keluar mengundi agak rendah pada PRK itu iaitu sebanyak 48.57 peratus, beliau berkata perkara berkenaan memang dijangka kerana beberapa faktor, antaranya pengundi terdiri daripada pekerja dan pelajar di luar Jepak, tidak pulang mengundi kali ini.