Pinda Perlembagaan kerakyatan, ada had perlu dipatuhi
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selepas dibentang kepada Majlis Raja-Raja, ada had perlu dipatuhi kerajaan dalam soal pindaan Perlembagaan pemberian kerakyatan.
Jelas Anwar, pihaknya akan memberi penerangan kepada ahli Parlimen kerajaan memandangkan tercetus kegelisahan dalam kalangan mereka berkait cadangan tersebut.
“Sebarang pindaan Perlembagaan yang mengubah isu kewarganegaraan perlu diselesaikan dengan Majlis Raja-Raja.
“Persidangan Raja-Raja telah mengambil pendirian tertentu. Oleh itu kita perlu menghormatinya,” katanya kepada media selepas melancarkan Malaysia Digital Expo 2023 (MDX 2023).
Sebelum ini, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee memberi amaran kemungkinan ada beberapa penyokong kerajaan bertindak bertentangan daripada ketua whip masing-masing di Dewan Rakyat jika pindaan tersebut tidak ditangani sebaiknya.
Difahamkan, beliau merujuk kepada lapan cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan kerakyatan.
Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pindaan tersebut akan dibincangkan oleh Kabinet selepas ia dibawa pada mesyuarat Majlis Raja-Raja dan disusuli pembentukan draf pindaan sebelum dibentang di Dewan Rakyat.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim