6 NOV: Penyasaran semua subsidi petrol dan diesel bakal dilaksanakan menggunakan tiga kaedah yang bakal dikemukakan untuk pertimbangan jemaah menteri, bulan ini.
Namun Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata kerajaan tidak mengumumkan bentuk dan kaedah penyasaran semula subsidi diesel dan petrol secara terperinci buat masa ini.
Jelas beliau, ia bagi mengikut pelan pelaksanaan dan garis masa yang ditetapkan untuk mengimbangi risiko inflasi yang bersifat spekulatif.
“Bagaimanapun saya boleh memaklumkan kepada dewan beberapa kaedah utama yang dibincang dan dibentangkan setakat ini boleh dirangkum kepada tiga kaedah, yang pertama pemberian subsidi secara bersasar mengikut kelayakan pendapatan belanja bersih secara individu melalui pendekatan perlindungan sosial.
“Yang kedua, pemberian subsidi secara bersasar mengikut kelayakan boleh belanja bersih isi rumah dan melalui pendekatan hibrid, gabungan perlindungan sosial serta bantuan sosial, manakala ketiga pemberian subsidi secara bersasar mengikut kelayakan pendapatan boleh belanja bersih secara isi rumah dan individu tetapi dilaksanakan menggunakan kaedah kad subsidi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung program libat urus yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dengan semua pemegang taruh sebelum rancangan subsidi bersasar dilaksana pada 2024 dan jenis subsidi bersasar yang bakal dilaksanakan serta manfaat yang boleh dinikmati oleh ekonomi negara.
Rafizi berkata keputusan khusus akan diumumkan mengikut garis masa yang ditetapkan kelak.
Namun, beliau memjelaskan pelaksanaan penyasaran subsidi itu hanya boleh dilaksanakan selepas tempoh pengesahan dan verifikasi maklumat isi rumah dan pendapatan selesai terlebih dahulu untuk memastikan kelayakan setiap isi rumah.
Dalam pada itu, Rafizi memaklumkan jumlah subsidi dan bantuan sosial yang ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM294.5 bilion atau 10.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan kerajaan bagi tempoh yang sama sejak 2015 sehingga 2023.
Katanya, Belanjawan 2024 juga memperuntukkan RM58.1 bilion untuk membiayai pelbagai bentuk subsidi dan bantuan kepada rakyat.
“Kerajaan mengenal pasti penyasaran semula subsidi sebagai inisiatif utama bagi memastikan keberkesanan pemberian bantuan serta menambah baik kedudukan fiskal kerajaan, perbincangan mengenai kaedah pelaksanaan program subsidi petrol dan diesel dilakukan di Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada Mei, Jun, Julai dan September.
“Perbincangan itu menjurus kepada satu cadangan bersepadu yang akan dikemukakan untuk pertimbangan Jemaah Menteri pada bulan ini, bersesuaian dengan jadual pelaksanaan penyasaran semula subsidi petrol dan diesel yang dijangka bermula pada 2024,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL