7 NOV: Harga ayam yang mula diapungkan pada 1 November lalu masih stabil kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Selasa.
Katanya, rata-rata penjualan ayam menunjukkan harga yang berpatutan dan tiada kenaikan mendadak di pasaran buat masa ini.
“Pihak kementerian melalui pasukan penguat kuasa dan pegawai pemantau harga akan sentiasa memantau bekalan serta pergerakan harga ayam.
“Seterusnya mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga yang mengambil kesempatan menjual pada harga tidak munasabah,” menurut kenyataan KPDN yang dimuat naik di platform X.
Terdahulu, kerajaan bersetuju supaya subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan sepenuhnya berkuat kuasa 1 November lalu.
Ia dilakukan bagi mengurangkan ketirisan subsidi yang mana pada ketika ini turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi serta warga asing.
Namun, Menteri KPDN, Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan pengawalan harga telur dan subsidi bagi telur ayam gred A, B dan C masih diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.
Bagi memudahkan orang ramai untuk membuat perbandingan harga, KPDN turut mewujudkan aplikasi Price Catcher di samping dapat melaporkan sebarang salah laku peniaga kepada kementerian tersebut.