7 NOV : Sebarang dakwaan yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong Israel akan dikenakan tindakan tegas.
Anwar berkata demikian bagi menjawab isu tular mengenai hantaran oleh beberapa pihak yang mendakwa PKR menjadi ahli dalam organisasi parti politik liberal antarabangsa yang turut dipercayai mempunyai kaitan menyokong Israel.
Tegas Anwar, beliau tidak akan membenarkan sebarang kenyataan yang biadab dan melanggar tata susila seperti itu dilemparkan.
“Tengok ya, supaya jangan Ketua Dewan Ulama (PAS) gunakan Harakah kaitkan saya dengan Israel.
“Itu satu kenyataan yang biadab, yang melanggar tata susila. Fitnah yang guna serban, tidak sah dan saya bantah keras-kerasnya dan kalau diulang saya akan ambil tindakan keras terhadap sesiapa yang menggunakannya.
“Ini yang saya sebut membina mahligai atas pusara orang mati. Kita kerja setiap hari, bawa kes ini, minta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adakan sidang…bawa China, Russia, Brazil, Ireland, Bolivia, bincang dengan Jepun, dengan duta Netherlands (Belanda),” katanya kepada Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkait pendirian kerajaan berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-Undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas untuk mengenakan sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas serta pergerakan Jihad Islam Palestin.
Sementara itu, Anwar berkata tindakan terkini Dewan Perwakilan AS yang meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas dijangka memberi kesan kepada Malaysia.
“Ia akan memberikan kesan kepada Malaysia jika Presiden AS, Joseph Biden menyenaraikan Malaysia sebagai negara yang memberikan sokongan terhadap Hamas.
“Kesan itu berlaku seandainya RUU itu dikuatkuasakan,”katanya.
Anwar berkata kebarangkalian RUU ini diluluskan di Dewan Negara Sennate serta ditandatangani oleh Presiden, Joe Biden adalah tinggi berikutan kebanyakan anggota-anggotanya yang lebih bersifat pro-Israel.
“Sebarang sekatan terhadap Malaysia juga mampu mempengaruhi penilaian Kerajaan AS dan syarikat-syarikat AS terhadap Malaysia, serta menjejaskan peluang-peluang pelaburan syarikat AS ke Malaysia,” katanya.
Pada masa sama Anwar menegaskan, kerajaan tidak mengiktiraf keputusan mana-mana negara termasuk ASyang mengenakan sekatan secara unilateral.
Jelas beliau, Malaysia hanya mengiktiraf keputusan yang dibuat secara multilateral oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Malaysia juga tidak bersetuju dengan cara yang digunakan oleh AS. Keduanya ia tidak mempengaruhi dasar dan keputusan kita.
“Semalam saya menghubungi beberapa sahabat dan negara Islam yang memberikan pendirian sama…sebab itu hubungan dengan Hamas kita teruskan dulu dan sekarang serta tidak menghukum mereka sebagai pengganas,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL