7 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan perkembangan ringgit tidak akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara.
Menurutnya, prestasi ringgit dan mata wang serantau lain didorong faktor luaran terutamanya jangkaan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat akan kekal tinggi untuk tempoh yang lama dan faktor geopolitik.
“Usaha kerajaan terhadap pembaharuan struktur termasuk inisiatif menerusi Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga akan memperkukuh daya saing Malaysia.
“Ini akan meningkatkan daya tarikan negara terhadap pelabur asing, seterusnya membantu pengukuhan nilai ringgit secara lebih mampan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 6 Tahun 2023, di Kuala Lumpur pada Isnin, lapor Bernama.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Bank Negara Malaysia (BNM) komited membendung kemeruapan yang berlebihan bagi memastikan pasaran pertukaran ringgit kekal teratur.