8 NOV : Peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan atas pelbagai faktor namun Tabung Haji sentiasa komited mengawalnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata antara usaha yang dilakukan termasuklah memeterai beberapa perjanjian kontrak jangka panjang untuk penerbangan, penginapan, sajian makan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.
Jelas Na’im, peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan kerana ia terdedah kepada faktor di luar kawalan Tabung Haji.
“Tabung Haji berusaha untuk memastikan jemaah haji Malaysia tidak terbeban dengan kenaikan kos haji dengan memeterai beberapa perjanjian bersama Arab Saudi, dengan cara ini, harga dapat ditetapkan dengan satu tempoh dan tidak dinaikkan setiap tahun.
“Kenaikan kadar Cukai Nilai Tambah di Arab Saudi daripada 5 peratus kepada 15 peratus bermula bulan Julai 2020 juga adalah salah satu punca kenaikan kos yang agak ketara.
“Di samping itu, terdapat juga caj-caj yang dikenakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji di Tanah Suci,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar), yang mahu tahu faktor peningkatan kos mengerjakan haji serta syarat dan kelayakan baharu yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, Na’im berkata antara faktor lain yang turut menjadi punca kenaikan kos haji juga ialah kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi serta kadar tukaran mata wang ringgit Malaysia berbanding riyal dan dolar Amerika Syarikat.
“Selain itu, faktor lain juga ialah projek pembesaran yang berterusan di Makkah dan Madinah yang menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji dirobohkan dan ia memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Tabung Haji sentiasa menasihati para pendeposit dan bakal haji untuk merujuk kepada pihaknya bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini melalui platform media sosial dan juga portal laman rasmi.
“Sebagai sebuah institusi Islam yang komited dalam memastikan kebajikan jemaah haji terpelihara, Lembaga Tabung Haji akan terus memberi bantuan kewangan untuk jemaah haji muassasah yang layak.
“Kos haji, kadar bayaran haji dan bantuan kewangan haji akan diumumkan setelah perbincangan secara menyeluruh dibuat dengan mengambil kira keupayaan dan kedudukan kewangan Tabung Haji,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL