8 NOV : Tindakan tiga ahli Parlimen pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat hanyalah taktik untuk mendapatkan peruntukan dan projek.
Malah Timbalan Ketua Penerangan UMNO, Noor Hariri Mohamed Noor berkata beliau tidak terkejut dengan pengumuman terbaharu di mana Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim turut mengisytihar sokongan terhadap Anwar dengan alasan demi rakyat.
“Sebelum ini pun sudah dua ahli Parlimen daripada Bersatu menyatakan sedemikian.
“Saya berpandangan bahawa ini suatu gerakan yang sengaja dibuat oleh PN kerana ketiga-tiga mereka hanya akan digantung keahlian Bersatu, bukannya dipecat untuk menghalalkan status mereka sebagai ahli Parlimen tidak tergugur.
“Ini hanya satu ‘diversion game’ untuk mendapatkan peruntukan dan projek melalui mereka sahaja,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Malam tadi, Mohd Azizi melalui satu kenyataan mengisytiharkan menyokong penuh kepemimpinan Anwar mengikut jejak dua ahli Parlimen pembangkang sebelum kni, Kuala Kangsar dan Labuan.
Mengulas lanjut Noor Hariri berkata, peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak pun disekat dan mereka masih menerima elaun yang ditetapkan.
“Cuma untuk lebih berkesan, Kerajaan Pusat menyalurkan terus peruntukan pembangunan kepada agensi terbabit bagi melancarkan penerimaan terus kepada rakyat di bawah secara bersasar.
“Ia berikutan banyak aduan diterima di tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu sebelum ini bahawa peruntukan bantuan hanya diberi dengan `memilih bulu’ kepada ahli parti PAS dan Bersatu sahaja.
“Atas asbab keadilan inilah Kerajaan Pusat perlu terus menyalurkan bantuan terus ke sasaran melalui pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) yang akan melancarkan agihan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap gerakan halus PN itu tidak mengaburi mata Anwar dalam mengukuhkan sokongan kerana katanya, Pengerusi Pakatan Harapan itu perlu melihat faktor keikhlasan dan kesetiaan dalam menilai sokongan itu.
Beliau menyifatkan sokongan itu ibarat kata pepatah ‘Sudah Bercerai Tetapi Tinggal Serumah’.