8 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Malaysia mampu kembali menjadi sebuah negara yang hebat dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.
Beliau berkata ia berdasarkan keupayaan dan potensi yang ada di samping kerjasama penuh yang diberikan semua pihak termasuk penjawat awam.
“Saya meluahkan idea, cara terbuka dari segi konsep pendekatan supaya rakan penjawat awam dapat memberi kerjasama sepenuhnya.
“Saya yakin sebab Allah SWT banyak menguji saya, ada kesabaran, menjadi lebih waras tetapi selepas melihat sepak terajang politik dan apa yang berlaku dalam pentadbiran negara saya yakin dengan semangat baharu.
“Beri masa dua atau tiga tahun, Malaysia dapat diangkat sebagai satu negara hebat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Kolokium MADANI Perkhidmatan Awam 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajayai, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan amalan pembaziran, penyelewengan dan rasuah perlu dihentikan kerana ia memberi kesan bagi pengagihan kepada golongan yang memerlukan.
Justeru, beliau berkata amalan itu perlu dibanteras dengan tekad politik dari jemaah menteri serta dukungan pegawai kanan kerajaan.
“Paling ketara ialah kerana tata kelola dan penyelewengan diterima sebagai satu sistem kerana beberapa skandal besar tidak mungkin berlaku hanya dengan ahli politik yang korup.
“Dia kadang-kadang bersekongkol dengan seluruh sistem manakala ilmuan dan ahli akademik diam membisu dan pentadbir yang susah terima kenyataan ini, tidak mampu melakukan perubahan,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menzahirkan penghargaan kepada jemaah menteri, Ketua Setiausaha Negara dan pimpinan penjawat awam yang menunjukkan prestasi membanggakan sepanjang tempoh setahun Kerajaan Perpaduan memerintah negara.