8 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ‘lampu hijau’ kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat mana-mana menteri, pegawai kerajaan termasuk pegawai khasnya sendiri.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata Anwar juga pernah memberitahu beliau untuk terus melakukan siasatan ke atas mana-mana mereka yang terpalit isu rasuah tanpa menunggu arahan daripada beliau.
“Pernah dia (Anwar) berkata kepada saya: Azam, kalau sekiranya ada pegawai kerajaan, menteri-menteri kaya ke atau pegawai khas saya atau mana-mana pegawai khas, kalau sekiranya anda rasa ada mereka melakukan rasuah, sila siasat.
“Jangan tunggu untuk arahan atau kebenaran dari saya, Saya berikan anda kebenaran untuk menyiasat mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti peringkat Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pada Selasa.