8 NOV : Singapura melarang pemakaian atau menayangkan secara umum logo berkaitan perang Palestin-Israel tanpa permit.
Kementerian Dalam Negeri (MHA) dalam kenyataan menegaskan mereka yang melanggar ketetapan itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga SGD$500 (RM1,722) di bawah Akta Logo Kebangsaan Asing (Kawalan dan Paparan) 1949.
Ia merangkumi semua logo kebangsaan asing termasuk bendera dan kain rentang mana-mana negara malah pengembara asing yang memakai logo seumpamanya boleh dinafikan kemasukan ke Singapura.
Dalam pada itu MHA akui sedar pakaian dan barangan ada simbol atau logo kebangsaan asing berkait perang Israel-Palestin sedang dijual dalam talian, dipakai atau ditayangkan oleh orang awam.
Sehubungan itu MHA dalam nota nasihatnya berkata perang Israel-Palestin yang berlaku sekarang adalah isu yang mempengaruhi emosi dan menasihati orang ramai supaya jangan menayangkan atau memakai barangan berkaitan konflik berkenaan.
Tegas MHA, sebarang perbuatan terutama yang menggalakkan atau menyokong menerusi pemakaian baju atau barangan yang tertera logo kumpulan pejuang seperti Hamas atau sayap tenteranya, Briged Al-Qassam dilarang sama sekali.
Namun bagi rakyatnya yang mahu membantu mangsa perang tersebut boleh menyumbang kepada pihak yang diamanahkan mengutip sumbangan dana atau derma bagi tujuan bantuan kemanusiaan.
Sementara itu, Menteri bagi Hal Ehwal Dalam Negeri, Muhammad Faishal Ibrahim dalam ucapannya di Parlimen pada Isnin berkata dalam tempoh tiga tahun ini tujuh permohonan seumpamanya di Sudut Penceramah Hong Lim Park ditolak.
Katanya, lima daripada permohonan itu adalah khusus bagi acara berkaitan perang Israel-Palestin.
Di republik itu, perhimpunan di Sudut Penceramah berhubung isu berkaitan perang Israel-Palestin adalah menyalahi undang-undang dan dilarang sama sekali.