9 NOV : Ahli Parlimen Langkawi dari Perikatan Nasional, Datuk Suhaimi Abdullah memohon maaf kepada Speaker Dewan Rakyat dan ahli-ahli Parlimen berhubung kenyataan berbaur seksis terhadap Teresa Kok (PH-Seputeh) ketika membahaskan usul Belanjawan 2024 pada 26 Oktober lalu.
Katanya, permohonan maaf tersebut dibuat atas kekhilafan beliau sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli Parlimen.
“Saya ingin memohon maaf atas kekhilafan saya pada perbahasan Bajet 2024 pada 26 Oktober lalu. Permohonan maaf ini dibuat kepada Yang Berhormat Tan Sri Yang Dipertua dan ahli-ahli Dewan yang terguris dan tersinggung akibat kekhilafan saya.
“Saya ingin menegaskan, sebagai wakil rakyat pulau legenda ini, Langkawi amat dekat di hati saya dan isu yang membelenggu rakyat Langkawi tidak wajar diperlekeh atau dipersepsi mana-mana pihak,” katanya sebelum mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Young Syefura Othman ( PH- Bentong) menghantar usul ke pejabat Setiausaha Dewan Rakyat untuk merujuk Suhaimi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Usul berkenaan susulan kenyataan Suhaimi yang disifatkannya biadab, lucah dan berunsurkan gangguan seksual kepada Teresa.
Pada 26 Oktober lalu ketika perbahasan di Dewan Rakyat, Suhaimi mencetuskan kontroversi apabila mengundang Teresa ke Langkawi dalam keadaan tanpa berpakaian.
Ia sebagai respons terhadap pertanyaan Teresa yang memintanya mengesahkan sama ada benar pelancong tidak dibenarkan memakai seluar pendek di bawah pentadbiran kerajaan PAS.