9 NOV : Pendidikan al-Quran akan diperkasa kepada kanak-kanak di negara ini melalui Program Tabika Pra Tahfiz melibatkan 10,843 Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kurikulum sedia bakal diperkukuh dan dimasukkan dengan program baharu itu.
“Dua hari yang lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara KEMAS dan Yayasan Pahang.
“Yayasan Pahang telah melaksanakan program yang sama di 21 Tabika Yayasan Pahang di negeri itu bersama Yayasan PINTA (gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan) yang menaungi maahad tahfiz di seluruh negara dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi penyediaan pedagogi atau kaedah pengajaran kepada guru KEMAS,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Program itu uga bertujuan melahirkan golongan hafiz dan hafizah al-Quran yang mahir dalam pembacaan, pengajian ilmu al-Quran serta pengajian Islam bagi memelihara kesucian al-Quran.
Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi pelaksanaan program tersebut.