Tabung Kemanusiaan Palestin dilancar di Parlimen
9 NOV : Dewan Rakyat melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin di bangunan Parlimen, hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata sumbangan itu akan disalurkan terus kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) seliaan Kementerian Luar.
“Parlimen terpanggil untuk bersama dalam usaha meringankan beban rakyat Palestin yang semakin hari semakin terhimpit akibat konflik melanda dan sebagai sokongan moral kepada mereka. Maka kita melaksanakan kutipan tabung kemanusiaan peringkat Parlimen.
“Tabung ini ditempatkan di pintu masuk kiri dan kanan hingga selesai persidangan dan setiap kali Yang Berhormat ingin masuk, boleh masukkan sumbangan di luar sana,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) kemudian bangkit dan mencadangkan supaya kadar minimum sumbangan oleh ahli Parlimen RM1,000.
“Arau cadangkan kalau boleh, semua ahli Parlimen beri minimum RM1,000, nak bagi RM10,000 boleh tetapi minimum RM1,000. Kalau letak RM50 kurang manis…RM1,000 yang terbaik,” katanya.