9 NOV : Pegawai kerajaan diingatkan agar mempertingkatkan kecekapan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pada masa depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia penting bagi memastikan tidak ada projek-projek yang sudah diluluskan lewat dilaksanakan.
Oleh itu, beliau berkata pegawai kerajaan diberi tempoh dalam masa dua minggu bagi mengemaskini projek-projek yang sudah diluluskan.
“Kita ada mesyuarat sebentar tadi dan saya minta supaya perkara-perkara yang kita rujuk perlu dikemas kini dalam masa dua minggu.
“Maksudnya projek-projek yang telah diluluskan itu dalam masa dua minggu ada kemas kini, kalau tidak ada yang dibenamkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040), hari ini.
Sebelum ini, menerusi ucapannya Anwar berkata isu kelewatan pelaksanaan projek antara yang dibangkitkan dalam pertemuan beliau bersama pelabur di luar negara.
Katanya, semua pihak perlu menerima dan mengakui perkara ini sememangnya terjadi ketika ini.
“Saya di New York bulan lalu dan berjumpa beberapa syarikat-syarikat besar, bila saya tanya, faktor positif banyak.
“Mereka cakap walaupun kita ini cepat kelulusan berbanding negara lain seperti Afrika atau Amerika Latin tetapi masih kalah dengan Vietnam dari segi tahap kelulusan dan kecepatan kelulusan,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar sikap melambatkan pelaksanaan projek seperti berlaku sebelum ini tidak lagi berulang.
“Tahap kecekapan pegawai-pegawai kerajaan mampu menarik pelabur-pelabur asing ke negara ini,” katanya.