10 NOV : China bersedia berusaha bersama Malaysia untuk menyuntik momentum baharu ke dalam perkongsian strategik komprehensif kedua-dua negara.
Naib Presiden China, Han Zheng berkata China menyifatkan Malaysia sebagai sahabat dan rakan strategik yang penting dan sentiasa menyokong Malaysia dalam memilih laluan pembangunan yang sesuai dengan keadaan negaranya sendiri.
Katanya, China bersedia bersama Malaysia untuk saling menyokong dalam menangani isu-isu berkaitan dengan kepentingan teras bersama.
“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif China-Malaysia. Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencapai kata sepakat penting untuk bersama-sama membina komuniti berkongsi nasib China-Malaysia.
“Ini telah menggariskan rangka tindakan untuk perkembangan hubungan dua hala pada era baharu.
“China juga bersedia bersama dengan Malaysia untuk merancakkan pembinaan bersama yang berkualiti tinggi dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), menggalakkan pertukaran yang lebih erat pada semua peringkat antara kedua-dua negara dan memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan, kebudayaan, pelancongan, pendidikan, sains dan teknologi untuk merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Han tiba di Malaysia pada Rabu bagi mengadakan lawatan rasmi selama empat hari di samping mengadakan kunjungan hormat kepada Anwar.
Beliau juga turut diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, dalam pertemuan dengan Han, Anwar berkata hubungan Malaysia-China bersifat istimewa dan strategik.
“Malaysia menyokong konsep dan inisiatif anjuran China seperti pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan dan BRI.
“Malaysia juga bersedia memperkasa kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang dan mengalu-alukan perusahaan China untuk melabur dan menjalankan perniagaan di Malaysia demi kemakmuran dan pembangunan bersama,” kata Anwar.