10 NOV: Perayaan Deepavali merupakan salah satu jalan bagi membangunkan Malaysia yang madani, memelihara kerukunan kaum di samping menyemai sikap saling hormat-menghormati di negara ini.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejamakan budaya di negara ini harus dipertahankan tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak.
“Sebarang percubaan untuk melemahkan tiang masyarakat ini mesti dipatahkan dengan sikap berserta nilai dan budi pekerti yang tinggi.
“Kerajaan Perpaduan akan memastikan pembangunan sosioekonomi semua rakyat, pengagihan kekayaan yang lebih saksama dan bantuan kepada yang memerlukan disampaikan dengan lebih tuntas dan cekap,” katanya dalam kenyataan sempena perayaan Hari Deepavali pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau akan berusaha dalan memastikan kebajikan dan tahap hidup masyarakat khusunya masyarakat Hindu dilindungi.
Jelas beliau, nikmat dan khazanah negara mesti dirasai semua secara adil dan saksama.
Sementara itu, Anwar turut memetik ungkapan dalam Thirukural yang bermaksud kebahagiaan yang berpunca daripada etika atau tatakelola yang baik merupakan nikmat sebenar dan kegembiraan berpunca daripada sikap tidak beretika adalah penderitaan atau tidak membawa kebahagiaan yang mampan.
“Saya ucapkan ‘Deepavali Nal Valthukal’ (Selamat Hari Deepavali) kepada seluruh penganut Hindu di Malaysia,” katanya.