10 NOV : Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memulakan tindakan saman terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, hari ini.
Beliau berkata tindakan tersebut susulan dakwaan Siti Mastura terhadap beliau yang dikatakan memiliki hubungan keluarga dengan pemimpin komunis Chin Peng atau nama sebenarnya, Ong Boon Hua dan Perdana Menteri Singapura pertama, Lee Kuan Yew.
Jelas Guan Eng, tindakan itu diteruskan selepas mendapati Siti Mastura membuat fitnah dan dakwaan tidak benar kepada beliau serta bapanya Lim Kit Siang yang didakwa mempunyai hubungan keluarga dengan ramai pemimpin DAP termasuk seperti Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Naib Pengerusi, Nga Kor Ming, Teresa Kok dan Ngeh Koo Ham.
Lim berkata beliau melantik peguam, Sankara Narayanan Nair untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap Siti Mastura.
“Saya melantik Sankara Narayanan Nair sebagai peguam saya untuk memulakan prosiding undang-undang dan tindakan jenayah terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura atas ucapan kebenciannya terhadap saya.
“Siti Mastura membuat ucapan kebencian itu di sebuah acara PAS di Kemaman pada 4 November lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, Lim memberi tempoh sehingga 48 jam yang berakhir semalam untuk Siti Mastura membuktikan dakwaan itu.
Sebelum ini, pemimpin-pemimpin DAP turut membuat laporan polis terhadap Siti Mastura serta menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak berasas, fitnah, palsu dan berniat jahat.
Dalam pada itu, bekas ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menggesa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian mereka secara terbuka terhadap dakwaan yang dibuat Siti Mastura.
Dakwa Guan Eng, Siti Mastura bersikap rasis dan ekstremis dengan membuat dakwaan itu bagi menimbulkan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina.
“Turut membimbangkan adalah sikap penyokong PAS yang terus menyokong dan memuji Siti Mastura hanya kerana pembohongannya telah mencetuskan kemarahan di kalangan penyokong dan pemimpin DAP serta rakyat Malaysia.
“Atas sebab ini, Abdul Hadi dan Muhyiddin perlu menyatakan pendirian mereka secara terbuka sama ada mereka menyokong pembohongan melampau dan fitnah jahat yang dibuat Mastura atau tidak bersetuju dengannya dan memintanya membetulkan tindakan itu,” katanya.