10 NOV : Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyokong resolusi yang mengesahkan kedaulatan rakyat Palestin ke atas sumber asli mereka, lapor Agensi Berita Palestin WAFA.
Undian itu dibuat dalam Jawatankuasa Perhimpunan Agung PBB mengenai Persoalan Ekonomi dan Kewangan (Jawatankuasa Kedua).
Resolusi itu mengesahkan kedaulatan rakyat Palestin di wilayah Palestin yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur dan kedaulatan penduduk Arab di Golan Syria ke atas sumber asli mereka.
Pada masa sama, resolusi itu juga menyeru Israel menghentikan eksploitasi, kerosakan, punca kerugian atau kekurangan dan mengancam sumber asli di wilayah terbabit.
Selain itu, resolusi berkenaan menegaskan pembinaan tembok apartheid, penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur dan merampas sumber semula jadi rakyat Palestin adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Resolusi itu turut menggesa Israel mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa berkaitan pembinaan tembok apartheid yang tidak sah.