10 NOV: Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya bermula Sabtu hingga Ahad sempena sambutan perayaan Deepavali.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pelaksanaan pemberian tol percuma itu akan bermula 12.01 tengah malam ini hingga Ahad berakhir jam 11.59 malam.
Beliau berkata pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.
“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Alaxender, tarikh ini juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar.
“Ia juga dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya,” katanya.
Jumlah trafik dalam masa dua hari tersebut dianggarkan sebanyak 11.8 juta kenderaan.