12 NOV : Mahkamah Tinggi Australia membebaskan bekas polis, Sirul Azhar Umar yang disabitkan dengan kematian wanita Mongolia di Malaysia, Altantuya Shaariibuu.
Daily Mail melaporkan, mahkamah itu tidak membenarkan penahanan tanpa had ke atas bekas anggota Polis Diraja Malaysia itu.
Sirul dijatuhi hukuman mati pada tahun 2006 atas pembunuhan Altantuya yang mayatnya diletupkan.
Dia yang juga bekas pengawal peribadi perdana menteri Malaysia dibebaskan dari Pusat Tahanan Villawood di Sydney pada Sabtu.
Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan pencari suaka yang tidak berjaya dan tidak boleh dipindahkan ke negara lain, boleh ditahan secara sah dalam tahanan imigresen tanpa had.
Pembebasannya dibuat selepas Mahkamah Tinggi, Rabu lalu, memutuskan penahanan imigresen tanpa had terhadap beliau menyalahi undang-undang, sekaligus membebaskan Sirul serta beberapa individu lain.
Sirul yang juga bekas komando, melarikan diri ke Australia selepas dijatuhi hukuman mati kerana membunuh.
Tuntutan suakanya ditolak pada 2019 dan Sirul ditahan kerana Australia tidak akan menghantarnya ke Malaysia, melainkan negara ini memansuhkan hukuman mati.
Wanita yang dibunuhnya ialah pasangan Razak Baginda, rakan rapat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam satu kenyataan bersama, Menteri Imigresen, Andrew Giles dan Menteri Dalam Negeri, Clare O’Neil berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan langkah lain yang mungkin sesuai untuk memastikan keselamatan masyarakat.
Menurut kenyataan itu, individu yang dikehendaki dibebaskan akibat perintah Mahkamah Tinggi akan dikenakan syarat visa yang sesuai kepada mereka selaras dengan keperluan untuk melindungi masyarakat.
Katanya, Polis Persekutuan Australia dan Pasukan Sempadan Australia bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negeri dan wilayah serta penguatkuasaan undang-undang untuk menyokong keselamatan masyarakat.
Mahkamah di Malaysia mendapati Sirul menculik Altantuya, sebelum membawanya ke pinggir ibu kota, lalu menembak dan meletupkan badannya.
Sirul melarikan diri ke Australia ketika diikat jamin sementara menunggu rayuan.
Beliau sebelum ini mendakwa hanya terbabit dalam penculikan Altantuya, namun tidak mengakui membunuh model dan penterjemah itu.
Walaupun motif pembunuhan tidak pernah didedahkan, timbul spekulasi pembabitan Altantuya dalam perjanjian pertahanan untuk membeli dua kapal selam Scorpene Perancis mungkin menyebabkan pembunuhan itu.
Najib menafikan pernah bertemu dengan Altantuya dan bersumpah di masjid beliau tidak mempunyai kaitan dengan kes itu pada 2018.
“Saya sekali lagi menegaskan saya hanya tahu dia meninggal empat, lima hari selepas kematiannya. Itulah kali pertama saya mendengar mengenainya. Tiada bukti yang menunjukkan saya pernah mengenalinya,” kata Najib sebelum ini.