13 NOV : Barisan Nasional (BN) mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Jeneral Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon parti itu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.
Pengumuman itu disampaikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Parlimen Kemaman di Menara Dato’ Onn, hari ini.
Beliau berkata sudah tiba masanya UMNO meletakkan seorang tokoh yang mewakili BN di Kemaman.
“Keputusan ini dibuat dengan persetujuan daripada Ketua-Ketua UMNO bahagian, Ketua Wanita, Pemuda Dan Puteri bahagian seluruh Terengganu.
“Tokoh ini banyak berjasa kepada negara di luar bidang politik dan beliau menyatakan kesediaannya untuk menawarkan diri atas tiket BN,” katanya.
Mengulas mengenai faktor pemilihan calon tersebut, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata Raja Mohamed Affandi sudah melalui kerjaya profesional dengan begitu gigih selain mempunyai latar belakang yang sangat kuat dalam ketenteraan.