13 NOV : Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin parti itu mampu menawan kembali Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) serta menyifatkan Parlimen itu bukan kubu kuat PAS.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata kekalahan BN di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu adalah disebabkan naratif fitnah yang dimainkan pihak lawan.
“Kemaman adalah kubu kuat UMNO namun disebabkan fitnah dan juga simbahan kebencian terhadap UMNO khususnya dan BN serta penggunaan sumber-sumber kewangan yang sangat luar biasa pada ketika itu, maka kita kekurangan kira-kira 27,000 undi di Kemaman.
“Maka kali ini, dengan persetujuan badan perhubungan dan BN Terengganu serta ketua-ketua UMNO Bahagian, UMNO meletakkan seorang tokoh mewakili BN di Kemaman,” katanya pada sidang media pengumuman calon BN di PRK Kemaman, hari ini.
BN mengumumkan akan mencalonkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon langsung BN bagi PRK Kemaman.
Ahmad Zahid berkata, Raja Mohamed Affandi yang dibesarkan di Kemaman merupakan calon yang layak sekaligus mampu meraih sokongan rakyat dan merampas kembali kerusi berkenaan berdasarkan kepimpinannya dalam ketenteraan.
Pada masa sama, beliau yakin jentera UMNO serta ahli parti itu menyatakan sokongan terhadap Raja Mohamed Affandi bagi mewakili BN di PRK Kemaman.
PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya negeri (PRN) membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada PRU15.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember manakala hari penamaan calon pada 18 November ini.