13 NOV : Semua parti sedia maklum ‘kelemahan’ Akta Anti Lompat Parti yang dikuat kuasakan pada 5 Oktober 2022.
Demikian reaksi Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang ketika itu merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).
Sehubungan itu beliau menasihatkan semua pihak agar tidak menunding jari atas kelompongan akta tersebut.
Ia merujuk kepada peruntukan yang ditolak dalam draf tersebut iaitu ‘wakil rakyat perlu mengosongkan kerusinya jika melanggar prinsip parti serta tidak mengikut pendirian parti di Parlimen.
Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata, beliau telah meramalkan apa yang akan berlaku semasa akta itu sedang dirangka dan bertegas mahu memasukkan klausa yang menyatakan ahli Parlimen yang melanggar kehendak parti akan kehilangan kerusi secara automatik.
“Jawatankuasa pemilihan berbincang hampir dua bulan maka RUU (rang undang-undang) dapat (diluluskan) tapi dua syarat iaitu melanggar arahan parti dan melanggar arahan Whip digubal, digugurkan berlandaskan untuk dapat kelulusan di Dewan Rakyat.
“Jadi kalau Perikatan Nasional (PN) tak sokong, dua pertiga tak dapat dicapai kerana itulah RUU sekarang dikatakan ada kelemahan, bukan kerana jawatankuasa tak tahu. Kita tahu, sudah diberi amaran awal-awal lagi dari September 2021,” katanya menurut Buletin Awani.
Terdahulu, empat Ahli Parlimen Bersatu mengisytihar sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk SeriAnwar Ibrahim iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) dengan kekal setia bersama parti.
Berikutan itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan undang-undang tersebut cacat dan perlu dikaji semula kerana terdapat kelemahan yang boleh dieksploitasi parti politik.
Kemudian, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendedahkan dalam rancangan podcast Keluar Sekejap bahawa menteri dari PN menolak peruntukan tersebut.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan akta itu perlu diperhalusi dan ditambah baik susulan terdapat kejanggalan selepas empat ahli Parlimen tersebut mengisytihar sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.