13 NOV : Pengendali Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) akan diwajibkan untuk menghubungi ibu bapa sekiranya anak mereka tidak hadir bagi mengelakkan kes tertinggal dalam kereta.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkara itu susulan beberapa kes kematian selepas penjaga terlupa menurunkan anak mereka di premis taska dan tertinggal dalam kereta.
“Sekiranya ibu bapa tidak dapat dihubungi, perlu juga ada nombor telefon kecemasan bagi membolehkan taska menghubungi seperti ahli keluarga terdekat.
“Namun ada yang saya tak boleh lakukan sebab ia di bawah kementerian berbeza…contohnya orang kata melarang penggunaan cermin kereta gelap.
“Ia bukan di bawah bidang kuasa saya, jadi saya hanya boleh lakukan sesuatu yang di bawah bidang kuasa saya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Malam Media Sarawak di Kuching, malam tadi.
Katanya, sejak Oktober hingga kini, tiga kanak-kanak dilaporkan maut akibat tertinggal di dalam kereta.