13 NOV : Kerajaan bakal mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang melanggar undang-undang Akta Kerja bagi memastikan Malaysia bebas dari aktiviti buruh paksa.
Menteri Sumber Manusia (KSM) S Sivakumar berkata pihaknya tidak akan menyembunyikan sebarang penderaan yang dilakukan oleh majikan terhadap pekerja domestik termasuk pekerja Indonesia yang bekerja di negara ini.
Katanya, perkara tersebut dalam pemerhatian KSM serta kementeriannya sudah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk mengambil tindakan berhubung aduan berkaitan pekerja domestik termasuk Indonesia yang tidak menerima gaji.
“Perkara ini menjadi inspirasi kepada saya serta KSM dan kita tidak nafikan tiada kes membabitkan pekerja asing. Kita bersedia mengambil tindakan terhadap majikan yang menyalahgunakan kuasa untuk mendiskrimasi mana-mana pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Ramah Mesra Kementerian Sumber Manusia Sempena Sambutan Deepavali 2023 di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, Duta Besar Republik Indonesia (KBRI) ke Malaysia, Datuk Indera Hermono dalam kenyataannya pada Ahad berkata tindakan lanjut dan siasatan perlu dilakukan berhubung isu penderaan, penganiayaan dan manipulasi Pembantu Rumah Asing (PRA) Indonesia di Malaysia.
Katanya, perkara ini perlu penguatkuasaan ketat oleh pihak berkuasa selain memerlukan penyelesaian segera dan menyeluruh daripada majikan.
Dalam pada itu, Sivakumar berkata tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap mana-mana majikan yang melakukan kesalahan sekiranya pihak berkuasa menerima laporan.
Jelas beliau, sekiranya masih terdapat majikan yang mengabaikan tanggung jawab dan cuai, mereka akan dikenakan tindakan di mahkamah.
“Perkara ini bukan kali pertama disebut malah sudah berulang kali, sebelum ini kementerian juga sudah menyelamatkan pekerja yang didera di kediaman majikan termasuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka.
“Kementerian menyeru KBRI membuat laporan sekiranya terdapat rakyatnya yang berkerja di negara ini didera oleh majikan termasuk tidak dibayar gaji,”katanya.