14 NOV : DAP ikhlas bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14) lalu.
Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook menepis dakwaan Mahathir yang mengatakan mereka menggunakan satu sama lain untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri ketika itu.
“Kami ikhlas bekerjasama, dengan harapan Mahathir telah berubah.
“Matlamatnya bukan sahaja untuk menjatuhkan pentadbiran Najib Razak tetapi juga untuk membawa pembaharuan,” katanya.
Semalam, pada siaran podcast Keluar Sekejap, Mahathir mendakwa beliau dan DAP hanya menggunakan satu sama lain yang berkongsi matlamat sama untuk menjatuhkan Najib.
Dalam pada itu, Loke sempat memuji Mahathir kerana bersikap jujur mengenai perkara itu.
“Sekurang-kurangnya dia berterus terang tentang matlamatnya dan tentang menggunakan kami untuk menjatuhkan Najib,” katanya.
Beliau mendedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu sedang dipenjara sebenarnya agak keberatan dengan idea untuk bekerjasama dengan Mahathir.
Namun katanya, Anwar akhirnya yakin tentang keperluan untuk bekerjasama, menggabungkan pengaruh mereka dalam membentuk pentadbiran baharu.
“Strategi itu berkesan dan berjaya. Bagaimanapun, kami kecewa dengan apa sahaja yang berlaku selepas itu (Langkah Sheraton),” katanya.
Langkah Sherator pada 2020 membawa kepada penggulingan pentadbiran Pakatan Harapan yang dipimpin Mahathir ketika itu.
*Foto : Facebook Keluar Sekejap