14 NOV: Kumpulan pejuang Hamas pada Isnin memberitahu pengantara Qatar pihaknya bersedia membebaskan 70 tebusan yang ditahan di Gaza sebagai balasan gencatan senjata lima hari dengan Israel.
Menurut jurucakap Briged al-Qassam, Abu Ubaida, Qatar berusaha berunding dengan Hamas bagi membebaskan tebusan yang ditahan sejak minggu lepas.
“Qatar menyatakan jika kami bebaskan tebusan, 200 tahanan Palestin yang terdiri daripada kanak-kanak dan 75 wanita yang ditahan di Israel juga akan dibebaskan,” katanya.
Beliau menegaskan, gencatan senjata selama lima hari perlu dilakukan bagi membolehkan kesemua tebusan dan tahanan Palestin kembali ke tempat masing-masing, selain membenarkan bantuan masuk sepenuhnya ke Gaza.
Dalam perkembangan lain, Presiden Indonesia, Joko Widodo mendesak Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden melakukan lebih banyak usaha bagi menamatkan kekejaman di Gaza, sekali gus membantu mewujudkan gencatan senjata ketika mengadakan lawatan rasmi ke Rumah Putih semalam.
Beliau berkata Indonesia berharap agar perkongsian antara kedua-dua negara boleh menyumbang kepada perdamaian dan kemakmuran di peringkat serantau dan global.
“Indonesia merayu kepada AS untuk melakukan lebih banyak lagi usaha bagi menghentikan kekejaman di Gaza.
“Gencatan senjata adalah satu kemestian demi kemanusiaan,” katanya.
Sementara itu, Biden menggesa Israel melindungi hospital utama Gaza ketika pertempuran sengit antara tentera Israel dan Hamas di sekitar kemudahan itu.
Tegasnya, hospital mesti dilindungi serta memberi jaminan akan melakukan sesuatu bagi membendung perkara itu.
“Menjadi harapan dan jangkaan saya bahawa akan ada tindakan yang kurang mengganggu hospital,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.