14 NOV : Kementerian Kewangan meminta individu yang layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk membuat permohonan segera manakala penerima sedia ada perlu mengemas kini data mereka.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pendaftaran dan kemas kini data itu diperlukan bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak sahaja menerima STR.
Ahmad berkata ia juga penting bagi memastikan sumber kewangan negara digunakan secara berhemat dan besasar kepada golongan B40 di samping mengelakkan ketirisan.
Sehubungan itu, katanya pemakluman berhubung status kelulusan STR dan pembayaran STR akan dipastikan sampai kepada pemohon melalui tiga cara, antaranya melalui penghantaran surat kepada penerima lulus bedasarkan alamat yang didaftarkan dalam pangkalan data STR.
“Kedua hebahan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke nombor telefon penerima yang lulus yang berdaftar dalam pangkalan data STR manakala ketiga, semakan rasmi melalui portal rasmi STR di laman portal www.lhdn.gov.my,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) berhubung kemudahan yang disediakan kerajaan bagi menyemak permohonan serta pengemaskinian STR khususnya bagi pemohon yang tidak celik IT, di Dewan Rakyat, hari ini
Ahmad berkata pengemaskinian maklumat atau permohonan baharu STR juga boleh dilakukan secara berkelompok, menerusi agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Khidmat wakil rakyat dan persatuan penduduk yang mewakili komuniti setempat.
“Selain itu, kerajaan juga akan memperhebatkan program turun padang bersama pemimpin komuniti dan pelusuk desa bagi memastikan STR dirasai seluruh rakyat Malaysia. Antara contoh yang sudah dibuat adalah di Masjid Al-Falah Jengka 7, Kampung Perting Bentong dan Kampung Rancangan Batu 22, Tawau.
“Untuk maklumat, pusat perkhidmatan wakil rakyat juga berperanan lebih luas dengan menjadi barisan hadapan dalam memastikan tiada individu yang tercicir melalui pembukaan kaunter bergerak untuk tujuan pendaftaran dan pengemaskinian secara berkelompok,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL