15 NOV : Permohonan menyertai pasukan perubatan Malaysia ke Gaza sudah dibuka.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata permohonan secara dalam talian itu adalah secara sukarela dan mereka yang terpilih akan didedahkan dengan latihan persediaan bersesuaian.
“Dari sudut pasukan, insya-Allah kita bersedia dan akan melatih mereka.
“Latihan itu dari sudut fizikal, mental dan emosi kerana apabila berdepan dengan peperangan ini ia satu perkara yang sangat menekan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Hari Integriti KKM Tahun 2023 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.
Kelmarin, KKM menyatakan kesediaanya menggerakkan pasukan perubatan ke Gaza sebaik kebenaran diperoleh.
Menurut KKM, penghantaran akan dibuat menerusi kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN) serta agensi awam lain dengan koordinasi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.
Dalam pada itu, KKM berkata penghantaran alat guna habis consumables dan ubat-ubatan dalam siri penghantaran bantuan kali ketiga akan dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat.
Terkini, rejim zionis dilaporkan menyerbu kompleks hospital terbesar di Gaza, Hospital Al-Shifa.
Sebelumnya, penembak tepat zionis didakwa menembak sesiapa sahaja yang terlihat di hospital tersebut.