15 NOV: Polis mengesahkan seorang lelaki ditahan kerana disyaki menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun adalah pekerja kilang di Melaka dari Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) ditahan pada jam 9.30 malam di Melaka pada Selasa.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan /14 Akta Kesalahan Kecil (AKK)/233 Akta Komunikasi dan Multimedia selepas perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret BBST Sepang bermula hari ini sehingga esok.
Selasa lalu, IPD Sepang dalam satu kenyataan menafikan anggotanya terbabit dalam satu hantaran jelik terhadap Perdana Menteri menerusi media sosial.
Pihak polis mula menjalankan siasatan berdasarkan satu tangkap layar yang memaparkan komen yang dilontarkan seorang individu mendakwa anggota di IPD Sepang.
Bagaimanapun pihak Bukit Aman mengesahkan individu terbabit bukan warga kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi semakan telefon bimbit yang digunakan.