15 NOV : Malaysia akan mengekalkan hubungan rapat dengan dua kuasa besar, Amerika Syarikat (AS) dan China tapa perlu dipaksa membuat pilihan memihak kepada mana-mana.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan rapat dengan dua negara itu akan memberi manfaat dan strategik kepada Malaysia.
“Selaras peningkatan persaingan strategik antara Amerika Syarikat (AS) dan China, Malaysia akan meneruskan pendekatan hubungan dengan kedua-duanya secara pragmatik dan berhemat.
“Kita bekerjasama dengan rakan-rakan untuk meminimumkan risiko iaitu konflik langsung atau pemecahan ekonomi global kepada blok-blok tertentu.
“Tiada keadaan berkenaan yang akan terjadi dalam tempoh terdekat tetapi sangat munasabah dengan keadaan tekanan yang semakin memuncak dewasa ini.
“Saya tak percaya konflik bersenjata antara kuasa-kuasa besar tidak dapat dielakkan dan negara-negara kuasa pertengahan seperti Malaysia boleh membantu mengurangkan tekanan menerusi diplomasi kreatif,” katanya, lapor BH.
Beliau berkata demikian berucap di University of California, Berkeley di San Fransisco, hari ini.
Lebih 250 penuntut universiti hadir mendengar ucapan beliau bertajuk ‘Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific: The View from Southeast Asia.
Dalam pada itu, Anwar berkata masih ada ruang untuk meneruskan hubungan kukuh dengan AS dan China khususnya dalam bidang seperti perubahan iklim, peralihan tenaga, pendidikan dan hubungan antara rakyat yang menawarkan ruang kerjasama.
Anwar ke San Fransisco bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 bermula semalam hingga 17 November ini.